jalan Tarbiyyah itu sangat indah.....

Thursday, November 4, 2010

Pembuka Bicara Atas nama cinta..

Sebuah Kisah Yang Menarik.....
Huraian Lirik Atas Nama Cinta by Unic....
Jommmmm Sama2 Kita MenghayatiNya........

Kata penulis lirik pembuka bicara:
Tika mata,
Diuji manisnya senyuman,
Terpamit rasa,
menyubur harapan.

Al-Faqir yang serba jahil ini menambah dengan izin Allah s.w.t.:-

Perkataan "tika mata" merujuk kepada, sejak daripada mata seseorang manusia melihat akan dunia ini. Oleh yang demikian, maksud zauqi (perasaan sufiyah) dalam perkataan "diuji manisnya senyuman" merujuk kepada segala bentuk keduniaan.

Dunia dan keindahan serta kelazatannya seolah-olah suatu "senyuman" yang menggoda hati manusia agar menghampirinya dan melupakan hakikat asal tujuan kewujudannya di dunia ini. Sejak mata boleh melihat akan keindahan dan kecantikan duniawi ini, hati sudah mula terpanggil untuk berkenalan dengan duniawi ini, di samping melupakan perjanjiannya dengan Tuhannya sewaktu di alam roh lagi, iaitu: "Alastu birobbikum, Qolu bala" (Allah s.w.t. bertanya: Adakah kamu (roh manusia) mengaku Akulah Tuhanmu). Maka, para roh menjawab: "Ya, kami mengakuinya") seperti yang dirakamkan di dalam Al-Qur'an.

Tapi, sejak mata melihat akan keduniaan, hati dan roh mula tertanya-tanya, tentang keduniaan yang dilihatnya. Hati semakin terkeliru, ketikat melihat, seolah-olah dunia dan isinya ini mampu berperanan dalam kehidupannya. Tampak dari sudut zahir, bahawasanya ada yang berkuasa dan berperanan selain dari Allah s.w.t., bagi hati yang tekeliru.

Sheikh Sa'id Hawa mengatakan: "Hijab pertama manusia dari Allah s.w.t. ialah, takkala si bayi sedang menangis mengadu kelaparan dan dahaga, lalu si ibu menyusukannya. Bisik hati si bayi itu, "oh, ada lagi yang boleh memberi rezeki dan mengenyangkan selain daripada Allah s.w.t?"

Kekeliruan inilah yang menjadi hijab pertama bagi seorang insan, dan terus-menerus membesar dengan bersandarkan kepada keduniaan, sehingga terlupa Tuhan kepada dunia dan segala isinya. Sejak kecil lagi, ketergantungannya sudah kepada makhluk, dek si roh tersanggut dalam jasad yang mana, mata menjadi peranan utama dalam memberi persepsi kepada manusia, yang akhirnya mengambil tempat "mata hati" (bashirah) dalam diri manusia.

Kerna itulah, dalam lirik tersebut ada menyebut: "tika mata", kerana dengan sebab matalah, seseorang semakin meninggalkan peranan mata hati, yang merupakan tempat bermu'amalah dengan Allah s.w.t..

Adapun mata jasad, merupakan antara pancaindera yang utama bagi jasad untuk berinteraksi dengan alam kebendaan duniawi ini, sedangkan mata hati, merupakan pancaindera yang paling utama bagi roh untuk berinteraksi dengan alam qudsiyah/ghaib dan berinteraksi dengan Allah s.w.t..

Kerana itulah, ada hadis mengatakan bahawa: "Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak melihat bentuk tubuh kamu, tetapi melihat hatimu dan amalmu". Adapun dunia dan isinyalah yang melihat bentuk tubuh jasmanimu dan luaranmu. Maka, sesiapa yang mengutamakan bentuk tubuh dan jasad daripada kondisi hatinya, bererti dia telah mengutamakan pandangan dunia dan isinya kepadanya, berbanding pandangan Allah s.w.t. ke atasnya. Dari sinilah, seseorang tahu, siapakah yang diutamakannya, Allah atau isi dunia? Fafham (maka fahamilah).

Tika mata, terpegun dengan keduniaan, seperti kecantikan wanita (atau ketampanan jejaka bagi wanita), kemewahan harta, kemegahan takhta dan sebagainya, maka syahwat dan nafsu mula menyeru insan agar mengejar apa yang diingininya daripada kenikmatan-kenikmatan duniawi sehingga sampai mengabaikan kehambaan kepada Ilahi.

Kecantikan duniawi ini sebenarnya suatu ujian, bagi mata, untuk mata hati. Allah s.w.t. berfirman: "Sesungguhnya, diperhiaskan kepada manusia itu, akan cinta syahwat (keduniaan) dari kalangan perempuan-perempuan (iaitu: lawan jenis), anak pinak, harta benda..."

Allah s.w.t. sendiri menggunakan istilah: "diperhiaskan", dengan membawa maksud, perkara-perkara yang diingini dan dicintai oleh syahwat sebenarnya bukanlah suatu perkara yang cantik, tetapi diperhiaskan agar kelihatan cantik di kaca mata jasmani, walhal, mata hati mengetahui akan kejelekannya.

Diperhiaskan akan duniawi ini tidak lain melainkan untuk menguji para hambaNya, siapakah yang jujur denganNya dan siapa pula yang berdusta terhadapNya, dalam perjanjian "alastu birobbikum" tersebut. Allah s.w.t. pada hakikatnya sudah mengetahui, siapakah dari kalangan roh yang menipu dalam perjanjian tersebut, dan siapa pula yang jujur. Tetapi, sengaja Allah s.w.t. meletakkan manusia ke alam duniawi terlebih dahulu, sebelum melayan para hambaNya dengan nikmat syurga, untuk menjadikan hujah ke atas manusia sendiri, supaya manusia sendiri akan membuktikan kepada dirinya sendiri, bahawa samada dia jujur dalam perjanjiannya ataupun berdusta dalam perjanjiannya terhadapNya. Jadi, dunia inilah tempat ujian.

Kerana itulah, lirik mengatakan bahawa: "tika mata, diuji manisnya senyuman...".

Keindahan dan kemanisan senyuman merupakan suatu kiasan kepada perhiasan duniawi yang dihias untuk menguji, siapakah dari kalangan para hambaNya yang jujur terhadapNya, dan siapa pula yang mendustaiNya? Bagi mereka yang jujur terhadapNya, sudah pasti setelah diberi seorang rasul ataupun setelah sampai ajaran para Rasul, bahawa Tuhan mereka ialah Allah, bukan duniawi, mereka segera menyahut panggilan itu dengan kembali kepada Allah s.w.t., bahkan, sanggup mengorbankan duniawi demi Ilahi.

Inilah yang berlaku kepada para sahabat dan para solihin, di mana, setelah mereka diajarkan agama, dan diajarkan tentang siapa Tuhan yang sebenarnya, dan siapa diri yang sebenarnya, maka mereka terus mengadapkan diri kepada Allah s.w.t. bahkan, sanggup mengorbankan keinginan syahwat nafsu demi Ilahi.

Adapun mereka yang pendusta dan pengkhianat, maka setelah diberitahu bahawa mereka adalah hamba Allah s.w.t. dan Allah s.w.t. ialah Tuhan mereka sekalipun, mereka tetap terus menjadikan duniawi sebagai kecintaan dalam diri mereka, sehingga mengabaikan Allah s.w.t. dan hak-hakNya. Inilah satu pengkhianatan yang paling besar yang mana, akan mengundang malapetaka yang paling parah (na'uzubillah min zalik).

Ramai daripada mereka yang terhijab daripada musyahadah Allah s.w.t. dengan hijab makhluk, tidak terhijab dengan makhluk melainkan kerana terpedaya dengan kecantikan palsu makhluk, sehingga melupakan kecantikan abadi Al-Khaliq.

Keindahan duniawi ini bisa memukau sesiapa sahaja yang terpandang akan senyumannya, lantas, terpamit rasa di dalam hati, untuk mengharapkan keduniaan, lebih daripada mengharapkan Tuhan. Harapan mereka, keinginan mereka, hala tuju mereka, bahkan matlamat mereka adalah dunia dan kebendaan. Jadilah mereka sebagai hamba-hamba kepada kebendaan seperti sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi: "Celakalah ke atas hamba Dinar. Celakalah ke atas hamba Dirham...".

Dalam lirik ini menceritakan tentang perihal seorang hamba yang terpegun dengan keindahan duniawi, lalu terbit rasa dalam diri untuk mengejar keduniaan demi memenuhi tuntutan syahwat.

* bersambung ~~~~~

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...